Jumaat, November 23, 2001

Artis Warner berbuka bersama

petikan NSTP e media 23 November 2001

BULAN Ramadan yang mulia ini bukan saja menguji kesabaran umat Islam sepanjang menjalani ibadah puasa tetapi turut menjadi bulan rahmat apabila ramai pihak mengambil inisiatif untuk meraikan rakan taulan dan juga kenalan dalam majlis berbuka puasa.

Walaupun negara sedang berkabung kerana kemangkatan Yang Dipertuan Agong sejak kelmarin, syarikat rakaman Warner Music terpaksa meneruskan majlis yang sudah dijadualkan pada hari itu di Hotel Concorde kerana segalanya sudah diatur sementara undangan sudah dilayangkan malah ada tetamu dari jauh sudah tiba.

Ada juga pihak yang membatalkan majlis berbuka puasa pada hari itu seperti TV3 yang menganjurkan berbuka puasa untuk Melodi di Hotel Armada, Petaling Jaya. Apa yang nyata, majlis yang bertujuan meraikan media massa dan cetak serta artis-artis yang masih dan pernah bernaung di bawah bumbungnya, berlangsung dengan lancar.

Antara artis Warner Music yang hadir malam itu ialah pasangan Ajai-Nurul, Raihan, Nowseeheart, M Nasir, Sheila Majid, Intan Sarafina serta artis edaran Warner, Yasin, Maya Karin, Fazley dan kumpulan Bozz.

Turut hadir ialah bekas artis Warner, Tan Sri SM Salim dan Jay Jay serta Pengarah Urusan Warner Music, Rudy Ramawy, Pengarah A&R, Nassier Abu Kassim dan juga kakitangan di bahagian promosi.

Bagaimanapun dua lagi artis mereka, Jamal Abdillah dan Saleem tidak hadir kerana Jamal bersiap sedia kerana isterinya menunggu hari melahirkan anak pertama sementara Saleem berada bersama keluarganya di Terengganu.

Sheila yang datang bersama dua anaknya, Nur Khaleeda dan Megat Abdul Majid serta pengurusnya, Tris, pulang awal selepas berbuka puasa kerana tidak mahu terlepas peluang mengerjakan sembahyang terawih.

SM Salim yang kurang sihat, tetap datang menggunakan kerusi roda. Turut memeriahkan majlis ialah M Nasir membawa isteri, Marlia Musa yang sarat mengandung serta empat anaknya termasuk anak bongsu, Nur Nilam Sari.

Kehadiran tetamu istimewa yang dibawa khas daripada Singapura mendapat perhatian kerana sebelum ini hanya nama dan suara mereka yang berkumandang mengalunkan lagu-lagu nasyid. Mereka ialah tiga penyanyi kumpulan nasyid yang cukup popular sekitar tahun 70-an dan 80-an, Faridah M Amin dari kumpulan Al-Mizan, Habibah Osman (Al-Jawahir) dan Rohaya Mohd Taib (Hidayah).

Apabila Faridah naik ke pentas menyanyikan lagu Junjungan Mulia, rata-rata hadirin mampu menyanyikan lagu popular Al-Mizan yang menceritakan detik kelahiran Nabi Muhammad s.a.w pada 20 April tahun Gajah. Faridah turut menyanyikan lagu Tangan Ku Hulur Maaf Ku Pohon.

Sementara Habibah terus mengimbau nostalgia dengan lagu Kembara Di Tanah Gersang dan Seroja yang berentak pop tetapi lirik menekankan unsur nasihat kerana dicipta oleh komposer terkenal, M Nasir.

Kemudian Rohaya yang juga isteri komposer Razzi M, tampil dengan lagu Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Habibi. Tiga wanita yang kini berusia awal 40-an itu menyanyi bersama secara medley lagu-lagu popular Al-Mizan, Al-Jawahir dan Hidayah.

“Sebenarnya kami bertiga muncul dengan album Permata pada 1999 kerana menyedari lagu-lagu nasyid kami masih diminati. Kami mengambil inisiatif bergabung tenaga memandangkan anggota lain mempunyai komitmen lain.

“Album ini memuatkan tujuh lagu baru serta tiga lagu lama dari Al-Mizan, Al-Jawahir dan Hidayah. Antara lagu baru ialah Hikmah Salam dan Menuai Cinta sementara lagu lama yang dimuatkan ialah Tiada Yang Kekal Melainkan Allah, Tangan Ku Hulur Maaf Ku Pohon dan Seroja.

“Kami juga terharu apabila Warner Music menghasilkan album kompilasi Al-Mizan, Al-Jawahir dan Hidayah dua bulan lalu dan lebih mengharukan apabila diundang memeriahkan majlis malam ini. Apa yang lebih menggembirakan kami ialah persetujuan mereka turut berminat memasarkan album Permata tahun depan,” kata Rohaya daripada kumpulan Hidayah.

Mereka tiba dari Singapura sehari sebelum ini serta dijadualkan pulang keesokan hari. Ternyata mereka cukup ramah berkongsi cerita mengenai zaman populariti hinggalah kehidupan mereka sekarang.

Sementara itu komposer M Nasir yang segak dengan baju Melayu malam itu adalah orang yang bertanggungjawab menerbitkan album Al-Jawahir, Warna Alam pada 1982 dengan lagu popularnya, Kembara Di Tanah Gersang.

Apabila ditanya bagaimana terbabit dengan album nasyid pada zaman awalnya dulu, Nasir berkata dia sekadar menjalankan tanggungjawabnya apabila diminta oleh syarikat rakaman PolyGram di Singapura untuk menghasilkan album Al-Jawahir.

“Ketika itu saya bekerja dengan PolyGram Singapura. Mereka suruh saya buat album nasyid saya buat,” katanya. Apabila ditanya tidakkah mahu menghasilkan album dakwah lagi, Nasir yang akan menyambut kelahiran anak menjelang raya ini hanya sekadar tersenyum.

“Buat masa ini tiada,” katanya. Sebenarnya dua penyanyi latar Al-Jawahir adalah adik beradik Nasir. Namun kini hanya penyanyinya sahaja yang terus menyanyi di Singapura bergabung dengan dua rakannya daripada Al-Mizan dan Hidayah.

Pada malam itu, Warner Music juga melancarkan album raya, Gilang Gemilang Aidilfitri yang memuatkan lagu baru ciptaan M Nasir, Salam Dunia.

Tidak ketinggalan penyerahan sumbangan menyambut raya kepada anak-anak yatim daripada Rumah Anak Yatim Darul Kifayah. Sampul berisi duit raya itu disampaikan oleh Faridah, Habibah dan Rohaya.

Tiada ulasan: