Isnin, Oktober 08, 2001

M. Nasir pentingkan kepuasan peminat

petikan Utusan Malaysia 8 Oktober 2001

Penyanyi M. Nasir yang kini sedang menerima rawatan kerana penyakit batu karang berat hati untuk menangguhkan konsert Phoenix M. Nasir yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat lalu di Singapura.

Bagaimanapun kerana kesihatan yang tidak mengizinkan, konsert itu ditunda pada 21 Oktober ini di Suntex City, Singapura.

Ini merupakan konsert pertama selepas album terbaru M. Nasir, Phoenix Bangkit berada di pasaran sejak dua bulan lalu.

Menurut M. Nasir ketika ditemui di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur, seperti konsertnya yang sebelum ini, dia membuat persiapan dan berlatih dua bulan lebih awal untuk memastikan mempunyai stamina semasa di pentas.

Kerana itu, dia tidak sabar untuk beraksi dan menzahirkan semua yang dirancang itu kepada penonton.

Semasa diserang penyakit batu karang minggu lalu, M. Nasir tidak terfikir untuk menangguhkannya malah berharap dapat beraksi seperti yang dijadualkan.

Namun setelah tiga hari terlantar dan menerima beberapa rawatan termasuk pancaran laser mengeluarkan batu karang, barulah dia membuat keputusan menangguhkan konsert tersebut.

``Memang berat untuk membuat keputusan menangguhkan konsert ini namun saya tiada pilihan,'' kata M. Nasir.

Dia membuat keputusan itu di atas nasihat doktor supaya berehat setelah menjalani rawatan laser.

M. Nasir berkata, selepas menjalani rawatan itu dia merasakan tidak mampu untuk bergerak cergas di atas pentas dalam masa yang singkat.

``Dalam persembahan nanti saya akan bergerak aktif di pentas sebab itu saya tidak boleh meneruskannya,'' kata penyanyi itu lagi.

Bagi M. Nasir kegagalan beraksi seperti yang dirancangkan bukan saja mengecewakan dia malah peminat-peminat yang mengharapkan mutu persembahan yang terbaik.

Setelah membuat keputusan untuk menangguhkan konsert itu, pihak pengurusan terus berbincang dengan pihak penganjur kerana tidak mahu menghampakan peminat yang telah bersedia.

Kepuasan penonton dan peminat memang dia utamakan dan dia tidak mahu menjejaskan persembahan dengan muncul ketika kurang sihat.

Pihak penganjur difahamkan membenarkan pemegang tiket konsert yang bertarikh 5 Oktober menggunakan untuk konsert pada 21 Oktober itu. Difahamkan lebih 3,000 keping tiket telah dijual di Singapura

Konsert tersebut dibuat selari dengan kemunculan album terbaru berjudul Phoenix Bangkit yang memuatkan lagu yang mempunyai sentuhan muzik Timur Tengah dan Asia Barat.

Album yang mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan itu adalah album pertama setelah M. Nasir mengikat kontrak dengan syarikat Warner Music.

Tiada ulasan: