Rabu, September 05, 2001

Konsert khas -- Lembaga penapis potong segmen puisi

petikan Utusan Malaysia 5 September 2001

Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin

Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) telah memotong segmen deklamasi puisi oleh tiga penyair dalam konsert khas kemerdekaan, Phoenix Bangkit M. Nasir yang disiarkan di stesen ntv7 baru-baru ini.

Konsert yang diadakan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-44 ini menampilkan penyair Marsli N.O, Pyanhabib dan Sani Sudin sebagai artis undangan.

Semasa menyaksikan rakaman itu pada 17 Ogos lalu, semua puisi-puisi itu menjurus kepada patriotisme dan kemerdekaan dalam bahasa yang puitis. Rakaman itu disiarkan di ntv7 pada malam menjelang ulang tahun kemerdekaan.

Menurut sumber daripada ntv7, arahan itu diterima beberapa jam sebelum rakaman itu ke udara sedangkan pihak ntv7 telah menghantar rakaman untuk dinilai pada 27 Ogos lalu.

Difahamkan pemotongan segmen puisi itu dikatakan beberapa perkataan di dalam puisi-puisi berkenaan yang tidak sesuai dengan keadaan semasa dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada khalayak.

Justeru, ntv7 memilih untuk menyiarkan terus konsert berkenaan dengan memotong segmen tersebut meskipun agak terjejas kerana penampilan tiga penyair berkenaan turut memainkan peranan dalam konsert tersebut.

Marsli N.O mendeklamasikan puisi Menyintaimu, Aduhai Tanah airku yang disampaikan dalam nada yang keras dan mendalam maknanya.

Puisi itu mengajak masyarakat berfikir kembali cara-cara dan haluan yang sepatutnya dilakukan oleh generasi hari ini di dalam meraikan sambutan hari kemerdekaan negara.

Bait yang berbunyi ``Apakah bangsa berani dan merdeka ini berani jiwanya hanya dengan disemarakkan oleh nyanyi dan dansa di padang-padang''.

Marsli memilih untuk berbicara dengan khalayak melalui sajak tersebut tentang bagaimana seharusnya yang dinamakan bangsa yang besar dan merdeka jiwanya.

Puisi berkenaan juga menghantar mesej yang cukup murni dalam menghargai jasa-jasa pemimpin lama dan baru yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara.

Puisi Kembang Kempis oleh Sani Sudin pula mengenai kekuatan dalaman yang harus ada dalam diri seorang warga negara merdeka. Dideklamasikan dengan gaya bersahaja, Sani mendapat perhatian khalayak yang nyata cukup terhibur dengan caranya.

Tindakan LPFM memotong segmen puisi memberi gambaran puisi itu akan mencetuskan kontroversi atau provokasi kepada khalayak. Benarkah puisi itu bahaya dan kenapa pula arahan itu sampai ke saat akhir sebelum rakaman tersebut ke udara?

Ini adalah kontroversi terbaru LPFM yang bertindak ke atas program untuk TV. Sebelum ini LPFM mengharamkan penyiaran filem Tjut Nyak Dhien arahan Eros Djarot dari Indonesia yang juga dirancang disiarkan di ntv7.

Tjut Nyak Dhien adalah sebuah filem sejarah tokoh srikandi Acheh yang mengabdikan diri kepada perjuangan menentang Belanda. Arahan supaya tidak menyiarkan filem ini diterima sehari sebelum tarikh siarannya sedangkan ntv7 telah membuat banyak publisiti tentang filem tersebut.

LPFM tidak pernah sunyi daripada perhatian kerana kerap terjebak dengan tindakan yang kontroversi. Sebelum ini LPFM banyak diperkatakan kerana memotong babak yang ``difahami'' tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Malah pernah bertindak nekad mengharamkan filem tempatan, Fantasia arahan Aziz M. Osman dan Amok arahan Adman Salleh. Bagaimanapun akhirnya kedua-dua filem itu dilepaskan untuk tayangan dengan beberapa potongan.

Sementara itu M. Nasir ketika dihubungi berkata, dia kecewa dengan pemotongan itu kerana pada pandangannya kehadiran tiga penyair itu menepati konsep kemerdekaan yang hendak ditonjolkan.

``Bagi saya tidak ada yang silap dalam puisi mereka. Kena dengan konsep Phoenix Bangkit,'' kata M. Nasir.

``Benda dah lepas nak buat apa lagi. Tapi apa yang saya nak sampaikan tak tercapailah,'' kata penyanyi itu.

Tiada ulasan: