Selasa, Ogos 21, 2001

Kemerdekaan konsert M. Nasir penuh bererti

petikan Utusan Malaysia 21 Ogos 2001

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Kemerdekaan yang diperjuangkan oleh generasi lampau adalah nikmat yang tidak mungkin mampu dibayar oleh generasi hari ini. Kemerdekaan terlalu tinggi nilainya bagi rakyat negara ini.

Bagi seniman M. Nasir, tiada kata-kata yang paling tepat untuk menggambarkan erti kemerdekaan yang menjangkau 44 tahun itu.

Bagaimanapun impian untuk meletakkan muzik tempatan ke taraf dunia adalah percubaan terbaik bagi memaknakan kemerdekaan.

Itulah yang digambarkan M. Nasir dalam rakaman konsert selama satu setengah jam yang dibuat di stesen ntv7 Jumaat lalu.

Konsert ini akan disiarkan di ntv7 pada 30 Ogos ini. ntv7 yang menjadikan M. Nasir sebagai model sambutan kemerdekaan stesen itu dianggap suatu yang paling tepat.

Seperti semua orang tahu, karya-karya muzik M. Nasir bukan hanya gambaran kreativiti seninya yang pelbagai, malah melambangkan kemerdekaan jiwa seorang yang sewajarnya dimiliki oleh setiap orang.

M. Nasir menyanyikan semua sepuluh lagu yang terdapat di dalam album terbarunya, Phoenix Bangkit. Album yang memuatkan lagu-lagu yang menggali hubungan tradisi Melayu dan Arab itu adalah yang terbaik daripada komposer ini.

Sahabat Gua menjadi lagu pembuka tirai yang memberi aspirasi diikuti dengan Melawan Arus, Bila Rumi Menari, Oh! Anak, Dah Lagu Tu, Pheonix Bangkit Dari Abu, Langgam Pak Dogo, Hijab Kekasih, Raikan Cinta dan Maisarah.

Konsert yang berkonsepkan santai ini memberi peluang kepada peminat Nasir untuk melihat persembahannya dari dekat sambil duduk bersila di atas lantai.

Tiga sahabat karib M. Nasir, Pyanhabib, Sani Sudin dan Marsli N.O turut mendeklamasikan puisi dalam konsert itu.

M. Nasir diiringi oleh sembilan pemuzik berpengalaman terdiri daripada Saharuddin Saniman, Jay-Jay, Nan, Mohar, Ramli, Taheera Rosheena dan Zulkifli Mahat serta Ahmad Firdaus Mahmud.

Meskipun tidak banyak berinteraksi dengan khalayak tetapi kata M. Nasir, ``Kita renunglah betul-betul maksud merdeka kita''. Kata-kata ringkas ini sudah cukup untuk menyampaikan mesej dari dalam fikirannya ke pentas konsert.

Kata-kata itu diperjelaskan menerusi kesepuluh lagu yang dinyanyikan pada konsert tersebut jelas membawa makna dan mesej yang amat mendalam. Merdeka pada tafsiran biasa hanyalah bebas daripada penjajah.

Namun kemerdekaan fizikal tidak cukup untuk semua orang menikmati kemerdekaan yang lebih bermakna.

Bertolak daripada situ, M. Nasir cuba membawa satu pengertian merdeka yang lebih luas melampaui pengertian yang difahami oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

Lagu Masirah misalnya mengimbau intifadah perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekaan dan kedaulatan wilayah. Persembahan M. Nasir disokong oleh pantomim yang menterjemahkan maksud merdeka yang lebih luas.

``Saya mahu kita rakyat Malaysia merdekakan diri daripada pemikiran yang mengongkong dan tidak lagi dibelenggu stigma luaran,'' katanya.

Merdeka yang diperjuangkan oleh komposer ini ialah kemerdekaan pemikiran yang bebas daripada unsur asing dan pada masa yang sama mengekalkan jati diri sebagai acuan mengisi kemerdekaan.

Isnin, Ogos 20, 2001

Muzik M Nasir bangkit jiwa merdeka

petikan emedia 20 Ogos 2001
Oleh Nor Akmar Samudin

SIFU M Nasir tidak perlukan tempat besar dan gah untuk mengadakan konsert istimewanya. Cukup hanya di sebuah studio.

Itulah yang berlaku ketika rakaman Konsert Phoenix Bangkit di Studio 1, ntv7, pada Jumaat lalu. Walaupun jumlah penonton terdiri dari kalangan ahli Kelab Sahabat yang hadir tidak sampai 200 orang tetapi ia amat berjaya.

Siapa tidak kenal cara M Nasir membuat persembahan di pentas. Sebelum ini pun sewaktu menyertai pertandingan, persembahan biasa atau konsert, dia muncul sempoi dan santai dengan baju longgarnya.

Kekuatan dan kelebihannya terletak pada irama dan lagu miliknya. Bukan gimik yang berlebih dan tidak kena serta menyakitkan mata.

Berbalik kepada rakaman konsert yang berkonsepkan relaks dan mesra itu, ia tidak menyediakan kerusi seperti kebiasaannya. Penonton kena duduk bersila di atas tikar getah yang dibentang di depan pentas yang berbentuk gua.

Atas permintaan Nasir juga setiap yang hadir disyaratkan berpakaian serba putih. Tetapi dia sendiri tidak menyarungkan pakaian sedemikian. Dia mengenakan kemeja jingga, berjaket dan berseluar kelabu. Menjawab soalan itu, seperti biasa tiada jawapan yang jitu daripadanya.

Apapun kecacatan yang sedikit itu tidak merosakkan ‘majlis’ kerana tumpuan lebih kepada lagu dan persembahannya. Sehingga habis rakaman tiada seorang pun mahu melonggarkan sila masing-masing.

Keadaan itu memaksanya menyanyikan lagu Phoenix Bangkit Dari Abu sebanyak tiga kali. Nasir tampaknya begitu mesra melayani ‘karenah’ peminat dengan kesanggupannya memenuhi permintaan mereka.

Konsert yang memuatkan semua lagu dari album Phoenix Bangkit itu mengandungi mesej hebat dan mendalam, menghiburkan serta menaikkan semangat patriotisma. Lagu yang dipengaruhi kombinasi elemen muzik Timur Tengah dan Melayu itu diadaptasikan ke dalam konsert yang begitu kreatif dan simbolik.

Rakaman dimulakan dengan lagu Sahabat Gua, Melawan Arus, Bila Rumi Menari, Oh! Anak, Dah Lagu Tu, Phoenix Bangkit Dari Abu, Langgam Pak Dogo, Hijab Kekasih, Raikan Cinta dan Masirah.

Mendengar lagu daripada album atau cakera padat tentu berbeza apabila menyaksikan persembahan secara langsung. Tiga lagunya dipersembahkan dalam susana cukup ceria, Bila Rumi Menari, Langgam Pak Dogo dan Masirah.

Seperti Langgam Pak Dogo yang memulakan pembukaan lagu dengan perbualan dalam loghat Kelantan. Agak membosankan jika setakat mendengarnya menerusi radio, cakera padat atau kaset tanpa disertai visual.

Tetapi apabila lagu itu ‘dikonsertkan’ ia menjadi ‘lain’ dan mampu membuat penonton goyang kepala. Tambahan kehadiran pelawak Sabri Yunus dengan perut buncit dan punggung tonggeknya, Pak Ya dan Haji Aiman.

Mereka juga yang menyumbangkan suara dalam lagu itu ketika rakaman. Ia dilengkapi persembahan dikir barat. Langgam Pak Dogo juga disempurnakan dengan persembahan dikir barat. Ia cukup membangkitkan semangat kebangsaan dan anti penjajahan diselitkan pembacaan puisi bertemakan kemerdekaan oleh tiga sahabatnya, Pyan Habib, Usop Kopratasa dan Masli.

Bagaimanapun memenuhi kehendak konsep konsert, sepanjang rakaman M Nasir tidak bercakap sepatahpun hanya meneruskan nyanyian dari satu lagu ke lagu seterusnya.

“Kurang kepuasan tidak dapat berinteraksi dengan penonton tetapi terpaksa juga kerana konsepnya begitu. Kali ini saya membiarkan muzik berperanan sebagai penyampai mesej.

“Tetapi saya rasa segala apa yang hendak disampaikan sudah diluahkan melalui 10 lagu itu yang memperkatakan mengenai perjuangan, kehidupan manusia dan alam.

“Setiap elemen tambahan yang dimasukkan dalam lagu itu ada ‘peranan’ masing-masing bukan sekadar memenuhi ruang kosong depan pentas.

“Kanak-kanak melontar bola plastik melambangkan jihad,” jelasnya ketika ditemui selepas rakaman.

Menurut penerbit dan pengarah konsert, Shahila Harun Shah, konsert itu bukan sekadar hiburan kerana setiap lagunya dipersembahkan melalui gaya penceritaan yang berbeza-beza.

Jelas Pengarah Seni Konsert, Jalil Ngah, persembahan konsert itu menggunakan teknik installation concept di mana setnya direka khas menggambarkan suasana di dalam gua.

“Cara itu juga nampak seperti Nasir sedang jamming dengan pemuzik handalan yang pernah bekerjasama dengannya. Kehadiran kumpulan dikir barat dan kanak-kanak membangkitkan semangat patriotik di mana secara simboliknya mereka mewakili generasi akan datang,” katanya.

Sepanjang konsert M Nasir diiringi penyanyi latar Syed Azlan Syed Abu Bakar (Arab), Tijah Muhammad (Eija) dan Rustam Mustafah.

Kelebihan yang ada pada M Nasir juga disokong sembilan pemuzik berpengalaman Saharuddin Saniman (dram), Mohd Fauzi Darus atau Jay-Jay (bass), Aznan Alias atau Nan (gitar utama), Ramli Hamid dan Ramli Abdullah (gendang), Muhardiman Ismail atau Mohar (seruling), Taheera Rosheena Mohamed (percussion), Zulkifli Mahad dan Ahmaed Firdus Mahmud (keyboard).

Mereka antara ‘angkatan’ yang bekerja dengannya sewaktu menghasilkan album Phoenix Bangkit.

Sebenarnya konsert itu mempunyi serampang dua mata. Di samping memperkenalkan lagu album barunya, Phoenix Bangkit, ia juga rkaman khusus menyambut kemerdekaan negara yang ke-44.

Konsert itu diterbitkan kerjasama Ten Ten On Pictures dengan Luncai Emas akan disiarkan pada 30 Ogos, 10.40 malam menerusi slot ntv, Mesti Tonton Merdeka.