Jumaat, Julai 13, 2001

Penantian tujuh tahun M Nasir berbaloi

petikan Berita Harian 13 Julai 2001

KATA M Nasir, beliau terpaksa menunggu sehingga tujuh tahun sebelum album terbarunya, Phoenix Bangkit menemui peminat. Nasir muncul kali terakhir dengan album studio penuh menerusi Canggung Mendonan pada 1995.

Penantian anak kelahiran Bukit Panjang, Singapura itu nyata berbaloi kerana malam Khamis lalu, syarikat rakamannya, Warner Music menganjurkan majlis gilang-gemilang khusus untuk meraikan album itu.

Bukan setakat diserikan dengan kemunculan peminat setianya, majlis yang berlangsung di Concorde Ballroom, Hotel Concorde itu turut diserikan dengan kehadiran ‘orang besar’ Warner seperti Pengarah Urusannya, Rudy Ramawy dan Naib Presiden Warner Music Asean, Tony Fernandes.

Lebih bermakna, isteri kesayangannya, Marlia Musa yang kini hamil empat bulan turut menemani komposer terkenal itu bersama anaknya.

“Ini bukan album terbaik saya. Projek untuk album ini dijalankan sedikit demi sedikit, masih banyak yang ingin dilakukan tetapi masa tidak mengizinkan. Apa yang dapat dihasilkan, harap peminat dapat sesuatu yang baik daripadanya,” katanya.

Jika album terdahulu menyelitkan resipi lagu soul dan rock sebagai umpan memancing peminat, namun elemen itu tidak mungkin ditemui dalam Phoenix Bangkit.

Album ini berbaur ketimuran keseluruhannya, diserikan dengan gabungan irama Arab, Jawa, Melayu, Cina dan India. Awalnya, 15 lagu dihasilkan namun hanya 10 yang terbaik dipilih, meluahkan falsafah seni Nasir terhadap erti kehidupan dan cinta.

“Selepas Canggung Mendonan, saya terfikir arah untuk album seterusnya. Ia memakan masa untuk ‘dimasak’, selepas tiga tahun baru idea timbul untuk menghasilkannya.

“Saya bereksperimen menerusi kompilasi Akar dengan dua lagu baru, Akar Kita dan Lambaian Sukmaku. Dalam The Best Of M Nasir, Andalusia dan Kias Fansuri menceritakan arah yang ingin saya tuju.

“Saya agak berhati-hati dengan penerbitan album ini. Kekuatannya pada rentak yang boleh dikatakan kemelayuan. Saya memang mencari-cari rentak yang boleh ditarikan dengan lebih agresif serta bebas, tetapi moden dan diterima peminat muda,” katanya.

Namun, Nasir tidak pernah berasa kreativitinya disekat. Komposer yang hingga kini merakamkan lebih 600 lagu itu menganggap apa yang dihasilkannya adalah satu perjudian.

Nasir turut meluahkan kekecewaannya dengan tindakan syarikat rakaman terdahulu yang memasarkan album kompilasi serentak dengan kemunculan album terbarunya.

“Perkara ini lari dari etika dan tidak sepatutnya berlaku. Kalau dipasarkan pada masa lain, mungkin saya akan memberikan kerjasama. Saya akui kecewa dengan sikap mereka.

“Kalau hendak keluarkan pun, biarlah ada ‘taste’ sikit. Saya difahamkan pakej yang digunakan sebenarnya untuk keluaran produk lain,” katanya mengulas album Prahara Seni Abadi.

Pada majlis itu, Nasir turut mengadakan showcase istimewa selama sejam. Enam lagu menjadi pilihan termasuk Phoenix Bangkit Dari Abu, Sahabat Gua, Masirah, Hijab Kekasih dan Raikan Cinta.

Keletah anak kecilnya, Shafie menggamatkan suasana. Selain menari setiap kali melihat bapanya ligat di pentas, Shafie sesekali menjerit keseronokan.

Kesempatan itu turut diambil Warner untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Nasir yang ke-44, yang disambut sehari sebelum majlis berlangsung.

Tiada ulasan: