Jumaat, September 10, 1999

M. Nasir menyanyi gaya sendiri

petikan Utusan Malaysia 10 September 1999

"Saya mahu menyanyikan lagu saya mengikut kesukaan dengan gaya saya sendiri. Sebelum ini orang lain nyanyikan, sekarang dengar saya menyanyi pula,'' kata M Nasir mengenai album kompilasinya, Srikandi Cintaku.

Album kompilasi ini ternyata agak unik kerana ia tidak sekadar merakamkan semula tetapi memberi penghayatan, gaya dan semangat yang baru pada lagu yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi lain.

M Nasir memberikan warna yang baru terhadap lagu-lagu ciptaannya. Kerana setiap penyanyi mempunyai gaya nyanyian yang berbeza, keunikan album ini ialah lagu lama dengan gaya yang baru.

Bagi seorang pencipta lagu, sesebuah karya yang dihasilkan selalunya dipengaruhi oleh pengamatan atau pengalaman sendiri yang diolah secara kreatif ke dalam lagu.

Karya yang bercerita tentang kehidupan kebanyakkannya diangkat secara kreatif daripada kisah benar yang berkait rapat dengan perjalanan hidup mereka sendiri.

Memandangkan setiap karyanya mempunyai kenangan tersendiri, M. Nasir memilih merakamkan semula lagu-lagu yang diciptanya semenjak 20 tahun bergiat dalam bidang muzik.

Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa karya-karya lagu M. Nasir banyak memberi impak kepada industri muzik tempatan sebelum ini.

Malah M Nasir menjadi salah satu faktor popularnya artis seperti Allycats, Search dan Awie yang banyak bersandarkan kepada lagu-lagu ciptaannya.

Lalu tidak hairan kalau M.Nasir kepada sebahagian besar aktivis seni tempatan adalah idola yang dapat memberi rangsangan ke arah melahirkan karya berkonsep kejiwaan.

Karya-karya lagu M. Nasir dihimpunkan di dalam sebuah album kompilasi ini menjurus kepada lagu-lagu yang bertema kasih sayang dan percintaan.

Antara lagunya ialah Meniti Titian Usang, Cinta Sepi, Berikan Nurbisa, Layang-Layang Terputus Talinya, Kerana, Dari Kekasih Untuk Kekasih, Srikandi Cintaku dan Nur Nilam Sari.

Lebih menarik lagi apabila lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini dirakam semula dengan susunan muzik dan gaya penyampaian yang baru oleh M. Nasir. Lagu Kerana yang pernah dipopularkan oleh Allycats kini dinyanyikan semula dalam rentak reggae sementara lagu Kau Ratnaku menjurus kepada rentak soul.

Lagu Srikandi Cintaku yang sebelum ini dipopularkan oleh Bloodshed diubah kepada rentak keroncong yang lebih lembut dan perlahan.

"Srikandi Cintaku banyak meninggalkan kenangan kepada diri saya selain Nur Nilam Sari yang merupakan lagu paling istimewa,'' kata M Nasir.

"Saya memilih untuk menyanyikan dalam rentak keroncong kerana mahu pendengar melakukan penghayatan yang lebih serius kepada muzik itu,'' jelas M. Nasir lagi.

Malah menurut M. Nasir, lagu-lagu di dalam album ini melalui sesi pemilihan yang teliti sebelum dirakamkan semula.

"Kesemua lagu-lagu yang dihimpunkan di dalam album mempunyai kisah-kisah yang tersendiri,'' jelasnya lagi.