Sabtu, Ogos 21, 1999

M. Nasir muzik tempatan bercelaru

petikan Utusan Malaysia 21 Ogos 1999

Tetapi banyak pencipta sekarang memilih pendekatan popular, stereotaip dan mendayu-dayu kerana lagu begini diminati ramai.

Wartawan Utusan Tengku Khalidah Tengku Bidin menyingkap pemikiran M. Nasir mengenai elemen popular yang menjadikan lagu tempatan kacau dan bercelaru.

Soalan: Apa komen saudara terhadap kecenderungan melampau mencipta lagu-lagu berelemen popular?

M. Nasir: Kalau melampau, ia membuatkan nilai sesebuah karya tidak kelihatan mahal. Tidak berharga. Populariti tanpa elemen yang menyentuh jiwa tidak akan membuatkan sesebuah lagu dipandang hebat.

Soalan: Tetapi ada pendapat mengatakan karya popular memenuhi tuntutan pendengar?

M. Nasir: Kalau sikit-sikit tidak menjadi hal. Tetapi masalahnya terlalu banyak. Masing-masing berebut nak buat benda yang sama. Mak saya kata lagu meleleh. Sesekali tak apa. Tetapi sekarang sudah terlampau banyak. Saya tidak kata lagu saya paling baik tetapi saya cuba untuk memberikan nilai kejiwaan supaya orang boleh berfikir.

Soalan: Apakah ini berkaitan dengan mentaliti masyarakat yang cenderung kepada lagu-lagu sedemikian?

M. Nasir: Memang ada. Masih ada di antara kita yang berfahaman lama. Tahun 70 atau 80-an karyawan pun macam itu. Tetapi ini tidak bermakna karyawan dipersalahakan seratus peratus. Sebenarnya masyarakat sendiri tidak sukakan perubahan yang ketara. Ini menyebabkan karyawan keliru di dalam membuat perubahan.

Soalan: Sejauh mana seniman kita bersedia menghadapi alaf baru?

M. Nasir: Alaf baru? Apa itu alaf baru? Tak ada apa-apa. Muzik kita masih di tahap lama juga. Tidak banyak berubah walaupun di luar sana orang sibuk bercakap tentang macam-macam.

Soalan: Maksud saya daripada gambaran senario muzik yang ada sekarang?

M. Nasir: Muzik kita masih berada di takuk lama. Macam 80-an. Tidak ada perubahan. Jauh sekali untuk mewakili zaman siber.

Soalan: Bermakna artis kita belum bersedia?

M. Nasir: Bukan tidak bersedia tetapi kita masih mencari penyanyi yang boleh mewakili zaman. Kalau ada yang boleh, apa salahnya. Saya sendiri mencari. Siapa yang boleh mewakili semua zaman. Yang penting ialah kita perlu melatih dan belajar supaya rohani dan minda bercakap benda yang sama. Jangan mulut kata lain, buat lain.

Soalan: Apa aliran muzik yang boleh dibanggakan pada dekad 90-an?

M. Nasir: Tidak ada apa-apa aliran utama. Industri muzik tempatan sekarang bercelaru. Kita boleh mengambil apa sahaja aliran popular dari Barat. Dari luar. Media inilah yang mempengaruhi minda remaja kita. Nasyid popular, irama Malaysia juga popular. Tetapi ia belum boleh dikatakan berada di tahap aliran. Keadaan ini berbeza dengan tahun-tahun 80-an. Ketika itu muzik rock begitu terpengaruh. Itu aliran dekad 80-an.

Soalan: Berapa lama seseorang artis tempatan boleh bertahan?

M. Nasir: Lima tahun sahaja. Tak boleh lebih dari itu.

Soalan: Kenapa saudara kata begitu?

M. Nasir: Ia ibarat satu bungkusan yang menarik. Jika cantik bungkusannya, ia akan menarik perhatian orang untuk membeli. Tetapi harus diingat, akan muncul orang lain dengan gaya dan bungkusan yang lebih cantik selepas itu. Selepas lima tahun dia perlu mencari alternatif lain supaya terus kelihatan cantik.

Soalan: Maksud saudara ini termasuk artis popular Siti Nurhaliza dan Ziana Zain?

M. Nasir: Itu tak boleh nak cakaplah (sambil tersenyum).

Soalan: Apa perbezaan suasana berkarya saudara setelah kehilangan orang yang disayangi?

M. Nasir: (Terdiam seketika sambil jari-jemari menyurai rambut dan mengusap muka) Tak banyak berubah. Siapa yang menguruskan Luncai Emas? Urusan pejabat dibuat oleh adik saya, Keon dan isterinya Jenny.

Soalan: Orang kata yang patah akan tumbuh, hilang akan berganti.

M. Nasir: (Ketawa kemudian serius) Ada nak rekomenkan sesiapa?

Soalan: Barangkali anak-anak banyak memberi semangat untuk terus berkarya?

M. Nasir: Ya....(sambil mengalih pandangan ke arah anak bongsu, Nur Nilam Sari).

Jumaat, Ogos 20, 1999

Konsert Gembala

Konsert Gembala M Nasir Singapura telah diadakan pada  20 August 1999 di Harbour Pavillion Singapura.





Untuk maklumat lanjut konsert, sila baca review konsert & VCD Konsert dalam blog Ku Di halaman Rindu


Dalam - (lagu pembukaan Konsert Gembala)


Nur Nilam Sari

Srikandi Cintaku