Ahad, November 01, 1992

Konsert “Gong Impian M Nasir” menghiburkan

Petikan URTV 1 November 1992
Oleh Norazli Noh
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)

Kini penyanyi kontroversi M.Nasir telah mampu membuktikan dia berjaya menerusi konsert solo “Konsert Gong Impian M. Nasir' yang berlangsung di Dewan Lee San Choon, Wisma MCA. Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Jumaat (malam), 9 Oktober 1992, lalu.

Konsert tajaan Salem yang dianjurkan oleh Box-office dengan kerjasama TV3 itu berjaya menempatkan M. Nasir sebagai 'penghibur' di samping mempopularkan muzik irama Nusantara setanding dengan lain-lain muzik kontemporari.

Persembahan M. Nasir itu diiringi seramai 13 pemuzik undangan dari Kuala Lumpur.
Konsert M. Nasir itu dimulakan dengan acara deklamasi sajak oleh Pyan Habib berjudul 'Songsang' (karya Latiff Mohidin) dan 'Melayu vs Melayu' (karya Pyan habib sendiri) sebaik saja gong dipalu sebagai pembuka tiral konsert.

Antara yang kelihatan hadir menyaksikan konsert tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara- Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, presiden Papita, A. Rahman Hassan dan beberapa orang penyanyi popular  tempatan seperti Ramli Sarip, Shiela Majid, Hattan,  Ramlah Ram,  Awie (Wings) Amy Search dan ramai lagi  termasuk pemuzik-pemuzik tanah air.





Khamis, September 24, 1992

M Nasir tuduh artis tempatan tidak berdisiplin, kurang serius

petikan Bintang Popular 7 September 2008

PADA sekitar 1992, komposer dan penyanyi terkenal, M Nasir membuat kejutan apabila menuduh hampir keseluruhan artis di Malaysia tidak berdisiplin dan kurang serius dalam bidang yang diceburi menyebabkan mereka tidak mampu bertahan lama dalam persaingan dunia muzik.

Beliau dipetik sebagai berkata, lebih 80 peratus artis Malaysia terutama dalam lapangan seni suara dan industri muzik tidak berdisiplin dalam kerjaya mereka. Walaupun saiz industri kelihatan kecil tetapi cabarannya sengit dan hanya mereka yang berdisiplin serta mempunyai kegigihan boleh berjaya.

“Masalah artis kurang disiplin sangat rumit diselesaikan kerana ia menyentuh hak serta kepentingan individu. Penyanyi sekarang mahu menyanyi kerana mereka mahu merasai dunia ini dan glamor tetapi tidak komited serta tiada pegangan atau prinsip.

"Ini menyebabkan kedudukan mereka di dunia hiburan tidak menentu dan seterusnya bertindak mengikut cara sendiri tanpa memikirkan kesan buruk baiknya," katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika pelancaran album Bunyi Yang Dilihat di sebuah hotel di ibu negara pada 23 September 1992, sekali gus menarik perhatian pihak media yang membuat liputan majlis berkenaan.

Nasir berkata, penyakit kurang disiplin bukan saja dihadapi masyarakat artis tanah air tetapi membabitkan penyanyi luar negara yang ada kedudukan serta nama yang teguh dalam dunia hiburan.

Bagi mengatasinya, Nasir berkata seseorang artis perlu mempunyai rasa komited, bertanggungjawab dan kesedaran mengenai peranan mereka serta memiliki wawasan dalam bidang yang diceburi.

"Ia hanya masalah sikap. Tiada orang boleh mengubah melainkan diri sendiri. Penyanyi perlu berlatih membuat persembahan dan bijak berkomunikasi dengan penonton ketika beraksi. Disebabkan disiplin adalah subjektif yang sukar diterangkan, saya fikir cara tadi secara tidak langsung dapat menyedarkan penyanyi betapa pentingnya disiplin," katanya.

nota kaki: Petikan asal berkenaan peristiwa ini tiada dalam simpanan, jadi petikan dari tahun 2008 ini sebagai gantinya.

Jumaat, Jun 12, 1992

M Nasir dalam Media Hiburan 12 Jun 1992

sumber : Facebook KSMN
* terima kasih kepada saudara Kamal Talib kerana berkongsi petikan ini


**Sila klik gambar untuk membaca petikan tersebut